Assalamualaikum,
Hai kawan-kawan, post kali ini saya ingin bercerita mengenai individu yang sangat-sangat penting bagi saya di dunia dan di akhirat. Mereka ialah Emak dan Abah, wah!! dah lame sangat tidak pulang jumpe mereka, rindu sangat-sangat. Alhamdulillah dengan rezeki dan kesempatan yang diberikan Allah, saya sempat pulang berjumpa mereka pada minggu yang lalu, iaitu sempena majlis pertunangan sepupu saya dan sempena PRU 13. Walaupun hanya 2 malam dapat bersama mereka, ia merupakan detik paling indah, ini kerana merekalah tempat saya mengadu segala masalah sepanjang berada di UKM, dan mereka tidak pernah sekali pun merasa bosan. Sebaliknya, memberi nasihat dan meminta saya untuk terus bersabar selagi termampu.
Sedih pula bila berbicara soal ibubapa ini, bagi saya Abah merupakan insan yang paling banyak berkorban untuk saya, dari segi wang ringgit dan tenaga, tidak terbalas jasanya bagi saya, walaupun diberikan peluang hidup 1000 tahun pun belum tentu dan tidak mungkin saya dapat membalas jasa mereka. Abah sanggup berkorban apa sahaja demi untuk memberi keselesaan kepada saya, saya sering mengatakan kepada Abah, tidak perlu bersusah-susah untuk saya, tetapi Abah akan menjawab, tidak susah mana pun, sudah menjadi tanggungjawab. Luluh hati saya mendengar jawapannya, saya sentiasa mengingati pengorbanan Abah, ini kerana setiap perubahan yang berlaku dalam diri saya adalah dengan kuasa Allah yang mengurniakan saya seorang Abah yang bernama Ahmad Ramli Bin Abas.
Ramai orang mengatakan saya anak manja lah, anak orang kaya lah, tetapi pada hakikatnya sememangnya tidak benar sama sekali. Abah melayan saya sama sahaja seperti anak-anak yang lain, tiada bezanya dan saya paling tidak suka dengan orang yang menilai saya melalui cara saya berpakaian. Pakaian saya tidak mewah mana pun, dan jika ia mewah sekali pun, ia merupakan hasil titik peluh saya sendiri. Duit yang Abah bagi, saya akan gunakan untuk makan dan tujuan akademik sahaja, perbelanjaan lain adalah duit milik saya sendiri. Tetapi, apakan daya, manusia sering berkata-kata perkara yang belum tentu kesahihannya.
Emak pula merupakan insan yang paling penting bagi saya, Emak merupakan pakar motivasi bagi saya dan pendorong semangat. Emak saya sangat memahami saya dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya dalam apa jua yang saya lakukan. Emak saya tidak berpendidikan tinggi, tetapi dia sering menggalakkan anak-anaknya untuk belajar ke peringkat lebih tinggi. Apabila saya menghadapi masalah, saya akan menghubungi Emak untuk bercerita mengenai masalah saya, dan Emak sangat memahami anaknya ini dan sentiasa memberikan kata semangat yang tidak putus-putus. Saya sayang Emak dan Abah.
Sekian sahaja luahan hati saya, Terimalah sedikit gambar untuk tatapan kalian...:)
~Emak dan Abah yang saya sayang~
~Bukti saya telah mengundi di PRU 13~
~suasana di tempat mengundi ~
~Majlis Pertunangan sepupu saya~
~Sayangilah kedua ibubapa sebagaimana mereka menyayangi kita sejak dari kecil sehingga dewasa ini~

No comments:
Post a Comment