Wednesday, 29 May 2013

UNTUKMU TEMAN :)

Assalamualaikum,

kawan-kawan sekalian, kali ini saya ingin berkongsikan lirik lagu kegemaran saya iaitu lagu Untukmu Teman, lagu ini nyanyian kumpulan Brothers. saya amat meminati lagu ini kerana maksud bagi setiap patah perkataan liriknya sangat bermakna dan memberikan makna yang berkesan pada saya. Lagu ini juga sedih bila saya mendengarnya setelah tamat pengajian Diploma suatu ketika dahulu. ini merupakan lirik lagu dan video klip lagu Untukmu Teman.

Lirik Lagu Untukmu Teman – Brothers

Di sini kita pernah bertemu
Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru

Dan hidupku kini ceria
Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ikatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan bersimpul padu

Kenangan bersamamu
Takkan ku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Mungkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ikatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan bersimpul padu

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjinya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihnya
Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah derita hadirlah cahaya

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ikatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan bersimpul padu
Untuk selamanya







Lagu ini adalah berunsurkan persahabatan yang terjalin sesama manusia. Memang sukar untuk berpisah setelah sekian lama kita berkenalan, namun sebagai hamba Allah, kita kena akur dan percaya bahawa setiap pertemuan dan perpisahan kita di muka bumi ini adalah berdasarkan kehendak dan kuasa Allah S.W.T. Apa yang penting dalam persahabatan ialah kepercayaan yang kukuh dan keikhlasan yang tulus dalam hubungan sillaturrahim yang dibina. Saya memang tidak menafikan bahawa rakan-rakan semasa saya di Diploma dahulu sangat memberikan saya erti persahabatan yang sebenar, masalah-masalah yang saya hadapi dahulu menjadikan saya lebih bersedia dan tabah untuk menghadapi masalah persahabatab yang akan berlaku kelak. 

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah banyak membantu saya sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam mencapai kejayaan dalam hidup saya. Anda semua adalah permata yang menyinari hidup saya dalam arena persahabatan yang semakin global sekarang. Kepada sahabat-sahabat yang ada saya terkasar bahasa dan tersalah tidak semena, mohon ampunkan salah dan silap saya.

Salam Ukhwafillah Til Jannati...:)

Tuesday, 28 May 2013

SAKIT MATA SATU UJIAN

Assalamualaikum,

Kawan-kawan, hari ini post saya adalah bertujuan untuk berkongsi sedikit rasa sakit yang saya alami selama beberapa hari ini. Saya telah disahkan doktor dari Pusat Kesihatan UKM mengalami sakit mata, saya telah diberikan MC selama sehari dan ubat yang perlu dihabiskan. Sudah dua kali saya berulang ke PK UKM untuk mendapatkan rawatan, hari ini saya ke sana lagi atas tujuan untuk bertanya mengapa tidak sembuh-sembuh lagi, ubat yang diberikan pada Jumaat lepas sudah habis saya makan, tapi masih belum sembuh juga. Saya tidak menyalahkan doktor, sebaliknya saya berfikir positif sahaja, mungkin kerana Allah masih mahu menguji saya. 

Saya rasa sangat tidak selesa dengan sakit mata, ini kerana pergerakan saya terbatas, dan saya tidak mahu jumpa orang lain kerana khuatir akan berjangkit. Tetapi saya tetap datang ke kelas walaupun saya sakit mata, ini kerana minggu ini merupakan minggu ke 14 dan merupakan minggu terakhir kuliah, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk datang ke kuliah yang terakhir minggu ini. Walaupun mata saya sakit, tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan, tugasan kumpulan, tugasan individu dan macam-macam lagi. Inilah kehidupan universiti, sesusah mana pun kita, sesakit mana pun kita, yang penting semua perkara perlu diselesaikan tepat pada masanya. Bagi pendapat saya, saya tidak mahu menjadikan penyakit yang datang sebagai alasan saya untuk tidak melaksanakan tugas yang sepaptutnya saya lakukan. 

Saya telah pulang ke kampung selama 3 hari atas urusan perkahwinan jiran sebelah rumah, di samping itu juga untuk berehat di rumah. Di rumah, emak dan abah memainkan peranan yang sangat penting, mereka telah bersusah payah menjaga makan dan minum saya dan ada sahaja pantang larang yang saya kena ikut, antaranya jangan keluar merata-rata , kerana khuatir akan merebak ke orang lain, tidak boleh kena hujan kerana nanti sakit mata akan bertambah teruk, dan macam-macam lagi. Mak telah menyediakan makanan yang sesuai untuk saya, mak kata sakit mata tidak boleh makan makanan yang boleh menyebabkan kegatalan antaranya makanan laut (seafood) . tiga hari di rumah sangat bermakna kerana saya dilayan macam kanak-kanak, terima kasih emak dan abah serta adik beradik yang lain, anda semua jantung hati saya.

Saya menganggap sakit mata yang saya alami ini sebagai ujian daripada Allah S.W.T untuk melatih saya mampu bertahan dalam apa jua situasi sekalipun. Dan saya juga  berdoa semoga Allah menyembuhkan sakit mata saya dengan segera, ini kerana saya mahu melakukan tugas dan tanggungjawab saya  sebagai seorang pelajar. Peperiksaan Akhir semakin menghampiri saya, saya perlu menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya supaya masa yang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran adalah masa yang berkualiti bagi saya. Semoga Allah mempermudahkan urusan saya di muka bumi ini dan memberikan kejayaan kepada saya dalam setiap apa yang saya lakukan..Amin..

Sekian sahaja, luahan hati seorang insan yang sedang dalam kesakitan. 
Wassalam.





~selepas pulang dari PK ke PTSL untuk buat tugasan Microsoft Access~




~ketika keluar rumah perlu memakai kaca mata hitam~



~kesakitan yang Allah beri adalah ujian untuk menghapuskan dosa-dosa kecil~

Tuesday, 21 May 2013

PEMBENTANGAN APLIKASI SESI KE 2

Assalamualaikum,

Pada post kali ini, saya ingin berkongsi tentang pembentangan bagi PowerPoint untuk sesi ke 2 dimana kesemua kumpulan membuat pembentangan pada hari tersebut dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pembentangan dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pensyarah kami, kumpulan saya merupakan kumpulan yang terakhir membuat pembentangan dalam sesi pagi iaitu dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Terdapat pelbagai tajuk yang dibentangkan oleh rakan seperjuangan saya, antaranya Pertolongan Cemas, Gubahan, Aplikasi Mobile, Nostalgia Zaman Kanak-kanak, Pengurusan Stress, Baju Tradisional, Coklat dan kumpulan saya sendiri, Parodi. 

Dalam tajuk Pertolongan Cemas, rakan-rakan saya menerangkan sedikit sebanyak jenis-jenis ubat, cara untuk merawat orang yang tercekik dan langkah-langkah awal yang perlu diambil sebelum membawa pesakit ke hospital. Topik ini sangat berinformasi bagi saya kerana ia merupakan pembelajaran yang tidak dapat di dalam kelas. 


~Peti Pertolongan Cemas~


Bagi topik Gubahan pula, ia memaparkan kreativiti manusia dalam menghasilkan pelbagai ukiran yang boleh dibuat pada labu dan tembikai contohnya. Ia tidak tertumpu kepada gubahan buah-buahan sahaja, tetapi merangkumi semua bidang dan aspek yang boleh digubah, antaranya, gubahan bunga, gubahan muzik dan lagu, gubahan hantaran perkahwinan dan pelbagai lagi. 



~contoh gubahan buah-buahan~

Bagi topik Aplikasi Mobile pula, kumpulan ini telah membentangkan tentang aplikasi yang terkini yang terdapat dalam smartphone , saya tidak mempunyainya, tetapi saya tahu sedikit sebanyak tentang aplikasi terkini dalam telefon pintar. Kumpulan ini telah menerangkan tentang, "WE CHAT", "VIBER" dan "INSTAGRAM", sangat menarik topik ini dan menarik hati saya untuk memiliki telefon pintar suatu hari nanti. 


~contoh aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar~

Sekian sahaja serba sedikit ulasan topik yang telah saya kongsikan. 
Wassalam.


~keyakinan mencerminkan keperibadian, pembentanngan mencerminkan usaha yang dilakukan~


Saturday, 18 May 2013

SAVE PALESTINE...:)

Assalamualaikum,

Post saya kali ini ingin bercerita sedikit sebanyak tentang pameran Palestine yang telah diadakan di Pusanika UKM baru-baru ini. Saya ada mendengar iklan tentang pameran ini di Radio Era, tetapi hanya mengambil tidak kisah sahaja. Pada hari Rabu yang lepas, selepas kelas Academic Communication rakan sekelas saya, Amir memberitahu tentang pameran ini, maka tergerak hati saya untuk melihatnya. Pada mulanya saya berasa segan kerana saya tidak tahu sangat mengenai Palestine ini, hanya tahu yang mereka ditindas dan diseksa di negara mereka sendiri, sejarahnya memang saya tidak tahu. Tetapi Amir beritahu saya yang disana  baru kita akan tahu. 

Selepas solat Zohor, kami naik ke aras 3, dimana pameran itu berlangsung, mula-mula saya berasa sangat kegum, ini kerana pameran itu ditatarias sangat awesome dimana sangat besar dan kreatif. Saya masuk ke dalam kawasan pameran itu dengan penuh rasa ingin tahu, disana terdapat banyak gambar-gambar mangsa yang telah terkorban, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan macam-macam lagi gambar. Sangat menyayat hati saat melihat gambar tersebut, tidak tergambar di kotak fikiran saya membayangkan bagaimana jika saya yang berada di tempat mereka. "Ya Allah, selamatkanlah bumi Palestin, mereka tidak bersalah Ya Allah, musnahkanlah puak Zionis, mereka penceroboh negara Islam Ya Allah", begitulah doa serta lontaran hati saya ketika itu. Saya tidak mampu untuk menyumbang tenaga kepada mereka, hanya mampu berdoa dan memberi sokongan sahaja. 

Disana, terdapat bahagian-bahagian yang memaprkan keadaan disana, dimana terdapat replika penjara, yang dimana di dalamnya memaparkan keadaan mereka yang berada di dalam tahanan. Saya diberitahu bahawa mereka digantung di dalam penjara selama 9 jam, meremang bulu roma saya mendengarnya, mereka diseksa begitu kejam sekali. Rejim Zionis memang dasar tidak berhati perut, mereka tiada belas kasihan, tidak mengapa rakyat Plestin, di dunia mereka melihat mu diseksa dengan kejam, bersabarlah, di akhirat sana mereka akan mendapat balasannya, bahkan mereka akan dapat yang lebih teruk dari apa yang mereka lakukan. Allah Maha Adil, Allah Maha Kuasa, setiap perbuatan ada balasannya. Selamatkan Palestine Ya Allah....Sekian sahaja coretan hati saya.

Wassalam..

Sedikit gambar yang saya perolehi.


~replika mayat yang menyentuh hati~



~gambar mangsa yang diseksa dan meninggal~



~gambaran keadaan mereka di sana~



~ketika mendengar penerangan dari rakan saya~



~Gambaran penjara dan keadaan di sana~



~sudut luahan hati dan doa untuk Palestine, saya juga tidak melepaskan peluang~



~bergambar dengan replika keadaan masjid yang dikepung~


~UKM memberikan banyak pengalaman, I LOVE UKM~


Thursday, 16 May 2013

UKM -> JANDA BAIK, PAHANG -> SUBANG AVENUE -> THE SUMMIT -> UKM

Assalamualaikum,

Hari ini post saya adalah berkaitan dengan pengalaman saya mengikuti Jaksa Keusahawanan Kolej Keris Mas selama 2 semester. Wah...sangat menarik sekretariat kami, selepas penat lelah diharungi bersama sepanjang hampir 1 tahun yang bersamaan 2 semester, tibalah masa kami untuk meraikan kegembiraan bersama-sama ahli kami. Ketua kami telah merancang untuk kami pergi bercuti bersama-sama, tempat yang dicadangkan ialah di Janda Baik Pahang, kami telah kesana seramai 25 orang ahli sekretariat. Kami telah ke sana pada 12.05.2013 iaitu pada hari Ahad yang lepas dengan rombongan 5 buah kereta, saya merupakan salah seorang daripada pemandu kereta tersebut.

Aktiviti kami bermula pada jam 6.45 pagi, dimana semua ahli diminta untuk berada di kafeteria KKM unutuk berkumpul dan mengambil sarapan pagi sebelum bertolak ke Janda Baik, Pahang. Kami bertolak dari UKM pada jam 7.15 pagi, perjalanan kami memakan masa hampir 1 jam 30 minit untuk sampai ke Janda Baik, Pahang. Sesampai sahaja kami di sana, kami mencari tempat yang sesuai untuk kami duduk dan ber "barbeque", setelah mendapat tempat, ahli yang bertugas untuk memasak BBQ melaksanakan tugas mereka. Manakala yang selebihnya, bermandi-manda di air terjun, saya pun turut serta bersama-sama, air terjun disini sangat sejuk, memandangkan tempatnya yang tinggi, menggigil saya untik masuk ke dalam air. kami tiba di Janda Baik kira-kira jam 10.30 memandangkan semasa mahu naik ke kawasan air terjun terdapat kesesakan lalu lintas berikutan terdapat pertandingan berbasikal. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Janda Baik, Pahang, perasaan teruja sangat membuak-buak di hati saya, lagipun dengan mandi air terjun, sekurang-kurangnya dapat meringankan stress dan sakit kepala saya. kami berada di sana sehingga jam 1.30 petang. 

Destinasi seterusnya pula, kami ke Subang Avenue, dimana disini kami semua bermain "RollerBlade", semua ahli sekretariat mengambil peluang ini untuk bermain bersama-sama. Saya juga tidak melepaskan peluang ini, permainan ini boleh tahan juga susahnya bagi saya, ini kerana saya asyik terjatuh sahaja, agak sukar untuk saya mengimbangkan badan saya. Tetapi tidak mengapa, ini merupakan pengalaman, jika orang bertanya pernah main "Roller Blade", maka saya akan cakap pernah main. Selepas meluangkan masa selama 2 jam bermain permainan ini, kami seterusnya ke lokasi berikutnya iaitu The Summit, di sini kami bermain Bowling, terdapat 3 kumpulan dimana setiap kumpulan mempunyai ahli 5 orang, kami bemain 2 game , pada game pertama kumpulan saya mendapat tempat ketiga, manakala pada game kedua, kami berjaya menewaskan 2 kumpulan yang lain. kami mendapat tempat pertama. Gembira terasa bila bergelar juara, ini kerana kumpulan saya hanya saya seorang sahaja lelaki, tidak adil kerana kumpulan lain lelaki lagi ramai dari perempuan, tetapi saya berjaya membuktikan yang kumpulan saya mampu bergelar juara. 


Seterusnya, kami bergerak pulang ke Bangi, sebelum pulang ke UKM, kami singgah di kedai makan terlebih dahulu untuk mengisi perut yang kelaparan. Kami tiba di UKM pada jam 12.30 tengah malam, saya berasa sangat penat, tetapi terpaksa melawan juga penat kerana banyak kerja yang perlu disiapkan. Ini sahaja serba sedikit cerita saya bagi post kali ini, semoga anda terhibur dan meluangkan masa membacanya. 

Sekian, Wassalam. 


~pemandu yang kuat posing~



~Saya bersama rakan-rakan, Saha, Akiff dan Ammar FPI~



~semasa BBQ, Syiera memang pakar bab memasak~




~semasa di dalam air, sangat sejuk ~





~bergambar kenangan sebelum pulang dari Janda Baik, Pahang~



~semasa bermain Roller Blade~




~TRIO kumpulan Bowling kami~


~Pengalaman yang manis mampu terpahat di ingatan~

Friday, 10 May 2013

PEMBENTANGAN POWERPOINT DAN VIDEO

Assalamualaikum,

Hai kawan-kawan sekalian, post kali ini berkaitan dengan pembentangan tugasan PowerPoint dan video bagi subjek Aplikasi Komputer. Pada awalnya, kumpulan saya sudah bersiap sedia dan berharap kami dapat membuat pembentangan pada hari ini, tapi apakan daya masalah yang di luar jangkaan berlaku, macam-macam tragedi jadi hari ini di kelas. Kasihan pensyarah kami terpaksa melayan kerenah pelajar-pelajarnya, ada yang hilang dompet lah, video tiada suara lah, video tidak boleh play  di komputer depanlah, dan macam-macam lagi. Tetapi tidak mengapa, kita jangan ambilnya sebagai satu masalah, tetapi ambil sebagai satu ujian supaya kita membuat penambahbaikkan di masa akan datang. 

Pelbagai pengajaran yang saya dapat pada hari ini, antaranya :-

1. Sentiasa membuat persediaan awal, cuba slide show  dan video di komputer hadapan. Pastikan boleh  berfungsi dengan baik.

2. Minggu hadapan, bagi sesiapa yang ada speaker, bolehlah meringankan tulang untuk membawa ke kelas.

3. Gunakan masa yang diberikan dengan sebaiknya, jangan mengmbil masa yang lama untuk setting  di komputer hadapan.

4.  Pastikan telefon bimbit berada dalam keadaan senyap supaya tidak mengganggu tumpuan pelajar dan pensyarah dalam proses Pengajaran dan pembelajaran (P&P).

5. Gunakan bahasa yang formal dan mudah difahami, bukannya bahasa rojak. Jika gunakan Bahasa Melayu maka gunakan bahasa yang betul, begitu juga Bahasa Inggeris. 


Itu adalah serba sedikit pengajaran yang saya dapat pada hari ini, mungkin ada terkurang lebih, jika ada kekurangan mohon teguran anda di ruangan komen. Berbalik kembali pada pembentangan pada hari kejadian, hanya dua kumpulan sahaja yang sempat membuat pembentangan. untunglah mereka sudah melepasi saat genting ini. Kumpulan saya belum lagi membuat pembentangan, harap-harap minggu depan kami dapat membuat pembentangan. Nak tahu tajuk pembentangan kami?? nantikan masanya, barulah surprise. Kumpulan pada hari ini membentangkan tentang "Pantang Larang" dan satu lagi "Kasut", kedua-duanya menarik kerana menambahkan pengetahuan umum kepada saya, kerana ia adalah berkenaan dengan kehidupan kita.

Kepada kumpulan yang belum membuat pembentangan, ingatlah ada hikmah disebalik kejadian pada hari ini,  Allah bagi kita masa untuk membuat persiapan yang lebih rapi supaya perjalanan pembentangan seterusnya akan berjalan dengan lancar. Amin..mudah-mudahan hendakNya. Sekian sahaja post dari saya.
Wassalam.

~sentiasa berada dalam keadaan sedia, supaya tiada masalah berlaku~





~antara peralatan penting untuk pembentangan yang berunsur video~


~Berprasangka baik belum menjaminkan kesudahan yang baik, tepuk dada tanya diri kita~


Thursday, 9 May 2013

EMAK...ABAH...RINDU...

Assalamualaikum,

Hai kawan-kawan, post kali ini saya ingin bercerita mengenai individu yang sangat-sangat penting bagi saya di dunia dan di akhirat. Mereka ialah Emak dan Abah, wah!! dah lame sangat tidak pulang jumpe mereka, rindu sangat-sangat. Alhamdulillah dengan rezeki dan kesempatan yang diberikan Allah, saya sempat pulang berjumpa mereka pada minggu yang lalu, iaitu sempena majlis pertunangan sepupu saya dan sempena PRU 13. Walaupun hanya 2 malam dapat bersama mereka, ia merupakan detik paling indah, ini kerana merekalah tempat saya mengadu segala masalah sepanjang berada di UKM, dan mereka tidak pernah sekali pun merasa bosan. Sebaliknya, memberi nasihat dan meminta saya untuk terus bersabar selagi termampu. 

Sedih pula bila berbicara soal ibubapa ini, bagi saya Abah merupakan insan yang paling banyak berkorban untuk saya, dari segi wang ringgit dan tenaga, tidak terbalas jasanya bagi saya, walaupun diberikan peluang hidup 1000 tahun pun belum tentu dan tidak mungkin saya dapat membalas jasa mereka. Abah sanggup berkorban apa sahaja demi untuk memberi keselesaan kepada saya, saya sering mengatakan kepada Abah, tidak perlu bersusah-susah untuk saya, tetapi Abah akan menjawab, tidak susah mana pun, sudah menjadi tanggungjawab. Luluh hati saya mendengar jawapannya, saya sentiasa mengingati pengorbanan Abah, ini kerana setiap perubahan yang berlaku dalam diri saya adalah dengan kuasa Allah yang mengurniakan saya seorang Abah yang bernama Ahmad Ramli Bin Abas.

 Ramai orang mengatakan saya anak manja lah, anak orang kaya lah, tetapi pada hakikatnya sememangnya tidak benar sama sekali. Abah melayan saya sama sahaja seperti anak-anak yang lain, tiada bezanya dan saya paling tidak suka dengan orang yang menilai saya melalui cara saya berpakaian. Pakaian saya tidak mewah mana pun, dan jika ia mewah sekali pun, ia merupakan hasil titik peluh saya sendiri. Duit yang Abah bagi, saya akan gunakan untuk makan dan tujuan akademik sahaja, perbelanjaan lain adalah duit milik saya sendiri. Tetapi, apakan daya, manusia sering berkata-kata perkara yang belum tentu kesahihannya. 

Emak pula merupakan insan yang paling penting bagi saya, Emak merupakan pakar motivasi bagi saya dan pendorong semangat. Emak saya sangat memahami saya dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya dalam apa jua yang saya lakukan. Emak saya tidak berpendidikan tinggi, tetapi dia sering menggalakkan anak-anaknya untuk belajar ke peringkat lebih tinggi. Apabila saya menghadapi masalah, saya akan menghubungi Emak untuk bercerita mengenai masalah saya, dan Emak sangat memahami anaknya ini dan sentiasa memberikan kata semangat yang tidak putus-putus. Saya sayang Emak dan Abah.

Sekian sahaja luahan hati saya, Terimalah sedikit gambar untuk tatapan kalian...:)



~Emak dan Abah yang saya sayang~



~Bukti saya telah mengundi di PRU 13~




~suasana di tempat mengundi ~




~Majlis Pertunangan sepupu saya~


~Sayangilah kedua ibubapa sebagaimana mereka menyayangi kita sejak dari kecil sehingga dewasa ini~

Friday, 3 May 2013

PERSAHABATAN



Assalamualaikum,

Hai kawan-kawan sekalian, hari ini post saya bertajuk "Persahabatan". kenapa saya pilih tajuk ini?? jom sama sama kita baca ceritanya ya. Persahabatan bagi saya ialah satu hubungan keakraban seeseorang dengan seseorang atau kumpulan yang sama-sama mempunyai rasa selesa,gembira, riang, ria, tangis, hiba. Persahabatan sukar dikenalpasti daripada aspek fizikal semata-mata, tetapi ia perlu dilihat dari kesan yang mendalam kepada hati seseorang itu. Suka untuk saya tegaskan disini, "Sahabat" dan "Kawan" mempunyai maksud yang berbeza, ini kerana bagi saya sukar untuk kita memperoleh sahabat dalam masa yang singkat, setahun dua tidak cukup untuk kita kenal siapa sahabat kita. berbanding dengan kawan, kemana sahaja kita pergi kita akan mudah untuk berjumpa kawan, tidak perlu masa yang lama.



Sebagai seorang pelajar yang jauh di perantauan dan jauh dari kawalan keluarga, saya berpendapat sahabat sangat penting kerana ia merupakan tempat untuk kita berkongsi cerita suka dan duka bersama, melakukan aktiviti bersama-sama, serta sama-sama saling memberi nasihat yang berguna. Di Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dahulu, tempat saya mengambil Diploma, saya merasakan kawan-kawan disana memang terbaik, kami seramai 83 orang dalam satu kelas sentiasa mengenali satu sama lain, dan In Shaa Allah sampai sekarang saya masih mengingati nama mereka, cuma sudah sekian lama tidak meluangkan masa bersama. Rindu rasanya saat-saat gembira semasa Diploma dahulu, ini kerana ia merupakan kali pertama saya duduk jauh dari keluarga, satu cabaran yang besar bagi saya untuk berdikari di kota Petaling Jaya, tetapi atas berkat doa emak dan abah sokongan dan bantuan daripada pensyarah dan rakan-rakan, Alhamdulillah saya selamat menamatkan pengajian.



Berbanding pula dengan situasi saya di UKM ini, bagi saya rakan-rakan disini tidak seperti yang saya rasa dan alami ketika di Diploma, mungkin kerana faktor usia mereka yang muda dari saya menyebankan saya berkata demikian, bagi saya di UKM ini kawan-kawan memang ramai, tetapi untuk mencari sahabat itu memang sukar dalam jangkaan saya. Bagi saya, masalah dalam kawan-kawan ini perkara biasa, saya sudah cukup mempelajarinya sewaktu dari sekolah, di peringkat Diploma serta di alam pekerjaan. Saya tidak akan mengambil serius masalah persahabatan kerana ia akan mengganggu konsentrasi pembelajaran saya, saya hanya akan terima sahaja dan menilainya mengikut gerak hati saya, jika saya mengatakan saya sudah tawar hati, bermakna sudah tiada rasa nikmat dalam persahabatan itu, dan saya hanya mendoakan yang terbaik sahaja, biar Allah yang tentukan kerana Allah lebih Maha Mengetahui apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Walaubagaimanapun, dalam urusan yang melibatkan markah kumpulan atau yang akan memberikan kesan kepada saya juga, saya akan bertindak sebagai seorang yang profesional, di mana kerja adalah kerja, dan masalah adalah masalah, saya masih boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja yang saya mempunyai masalah, tetapi hanya untuk tujuan kerja atau tugasan kumpulan sahaja, untuk membincangkan soal-soal peribadi mungkin akan mengambil masa sedikit atau mungkin tidak lagi untuk selama-lamanya.

Ungkapan "maaf", "sorry", "aku tak de niat pun" sudah lali dalam kehidupan saya, dan saya akan sentiasa menjawab "it's ok", ini kerana saya tidak mahu memikirkan ia terlampau jauh, hanya membazirkan masa saya sahaja. Bagi saya sahabat memang sukar dicari, dan jika ada pun, sukar untuk kita mencari pengganti, saya mempunyai beberapa orang sahabat dan saya menganggap mereka teman sejati saya, walaupun kami jarang bersama, tetapi hakikatnya kami sentiasa rasa saling dekat antara satu samaa lain, insan yang bertuah itu ialah:-
MIOR MUHAMAD HAIKAL BIN SAPERI
MUHAMAD AMIRUDDIN BIN ZULKIFLI
ROHAYA BINTI ABDUL HALIM
NURUL NADHIRAH BINTI HUSSAIN
AZMIRA BINTI MOHD ZIN



Mereka merupakan rakan saya sejak dari bangku sekolah lagi, dan sehingga kini kami masih bersahabat, susah senang kami sentiasa bersama, tidak kira apa jua masalah, kami sering berkingsi pendapat dan kami juga selalu meluangkan masa bersama bila musim cuti. Sekian sahaja post dari saya untuk kali ini. Post ini saya tulis hanya luahan hati kecil saya, tiada kena mengena dengan sesiapa pun, jadi saya harap tiada siapa pun yang akan menyuarakan sebarang pertikaian mengenai post ini.


~hargailah sebuah persahabatan ibarat menjaga segelas mutiara, rindu bila tiada, bahagia bila bersama~