Friday, 29 March 2013

MANUSIA OH MANUSIA...

Assalamualaikum....

Post hari ini saya nak luahkan sedikit perasaan kesal dengan sikap segelintir manusia iaitu hamba Allah yang kurang atau mungkin tiada rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Saya tidak mahu menyatakan siapa dan dimana situasi ini berlaku, tetapi kita berbalik pada diri kita sendiri. Sebagai contohnya, jika kita menyeru dan menasihati seseorang itu supaya membuat kebaikan, sedangkan kita tidak melaksanakannya terlebih dahulu, adakah anda yakin, orang itu akan melakukannya???pada pendapat saya, sama sekali amat sukar orang itu untuk melakukan. Ini kerana pada pendapat saya berdasarkan pengalaman yang lampau dan mungkin kesilapan saya yang lalu, memang agak sukar orang itu untuk mengikuti nasihat seseorang itu, jika pemberi nasihat tersebut tidak mengiakan perbuatannya. 

Seperti yang berlaku kepada saya beberapa ketika yang lalu, saya memang suka mendengar nasihat dan sokongan dari rakan-rakan dan sesiapa sahaja. Saya boleh terima sesuatu teguran yang membina dan berunsurkan kebaikan, tetapi saya akan menilai orang itu terlebih dahulu, adakah dia seperti apa yang cuba dinasihatinya. Jika YA, maka saya dengan rela hati menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka, tetapi jika TIDAK, saya juga tetap akan menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka, tetapi minda saya mula berkata-kata menilai insan tersebut.

Dalam dunia ini macam-macam perangai manusia, ada yang terlampau suka dengan sesuatu pangkat, tetapi tidak melaksakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Tidak perlu berfikir terlampau jauh, sebelum kita pergi kepada skop yang lebih besar, kita perlu nilai dan audit diri kita terlebih dahulu, dimana letaknya tanggungjawab kita terhadap diri kita sendiri. Jika kita rasa kita sudah melaksanakan tanggungjawab yang betul pada diri kita, maka kita boleh melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar. Cukuplah ini sebagai peringatan kita sesama manusia, post ini saya tidak tujukan kepada mana-mana individu sekalipun, ia cuma sekadar hiasan minda saya yang mula berfikir-fikir.


~audit diri, hiasi peribadi, tingkatkan prestasi dan kualiti~

Saturday, 23 March 2013

PENGALAMAN PERTAMA DI UKM

Assalamualaikum, 

Rakan-rakan sekalian, hari ini baru berpeluang update blog ini, kebelakangan ini sibuk menguruskan aktiviti kolej dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, pergi kelas, siapkan tugasan dan macam-macam lagi.

Sekarang nak cerita sedikit tentang pengalaman pertama yang saya dapat di UKM ini, iaitu pertama kali menderma darah. tidak semua orang berani menderma darah, saya sendiri mengakuinya kerana selama ini saya memang takut nak derma darah, tapi tiba-tiba semester ini semangat nak derma darah berkobar-kobar dalam diri. Untuk pengetahuan anda semua. saya memang suka mencabar diri saya dalam apa yang saya minat atau berkeinginan untuk buat. OK, sambung balik cerita derma darah tadi, Saya telah menderma darah di Ruang Legar FSSK, ini merupakan anjuran Bulan Sabit Merah UKM dan Pusat Darah Negara. 

Terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum layak menderma darah, yang pertama sekali perlulah mengisi borang menderma darah, penderma mestilah berada dalam keadaan sihat pada hari berkenaan, berumur 18-60 tahun, berat badan melebihi 45kg, tidur melebihi 5 jam, tiada masalah perubatan, tidak mengambil sebarang ubat seperti antibiotik atau alkohol dan beberapa lagi peraturan yang perlu dipatuhi. Nampaknya bukan senang-senag kita nak menderma darah, tapi In Shaa Allah kalau dah ada niat itu pasti dapat pahala, kita perlu fikir orang lain juga, bukan fikirkan diri sendiri sahaja. 

Selepas mengisi borang, penderma perlu berjumpa dengan pegawai perubatan disana untuk membuat pemeriksaan jenis darah dan tekanan darah. Saya memiliki darah jenis B. selepas melepasi ujian saringan ini, maka anda layak untuk menderma darah, boleh pilih samada mahu menggunakan tangan kiriv atau tangan kanan, saya memilih untuk menggunakan tangan kanan, ini kerana saya menulis menggunakan tangan kiri, risau nanti terganggu pergerakan tangan saya. 

Apabila duduk diatas kerusi menderma itu, perasaan mula berdebar-debar, sebab ini merupakan pengalaman pertama, ramai orang kata jarum besar lah, sakit lah , nanti lepas ini badan gemuk lah, macam-macam orang cakap, tapi saya berfikir positif sahaja. Mula-mula pegawai perubatan di sana akan mencucukkan ubat bius terlebih dahulu, kemudian barulah memasukkan jarum untuk salurkan darah ke dalam plastik yang disediakan, pada permulaannya terasa juga sakitnya, tetapi lama-lama dah biasa, tidak lama pun nak menderma, saya punya darah kurang dari 10 minit dah penuh plastik itu. Selepas darah penuh, pegawai perubatan disana akan mencabut jarum tersebut dan meminta saya menekan kawasan cucukan jarum berkenaan selama 10 minit untuk mengelakkan lebam. Selepas selesai semua, kami diberikan ubat dan makanan serta minuman.

Akhir sekali, saya sangat bersyukur kerana Allah membuka hati saya untuk menderma darah, ini merupakan penglaman pertama yang sangat berharga, dan saya berharap pada masa akan datang dapat berpeluang menderma lagi. 

Sekian. 

~sebelum dicucuk jarum yang besar~


~ketika darah sedang mengalir ke dalam beg~
~jenis darah saya B, jadi nilai kan yer~

Wednesday, 20 March 2013

3 HARI 2 MALAM

Assalamualaikum,

Kali ini, saya nak ceritakan sedikit apa yang terjadi semasa saya pulang bercuti pada minggu yang lalu. Saya pulang ke kampung halaman 3 hari 2 malam, pagi Jumaat bertolak pulang ke kampung, dan Ahad petang pulang ke UKM kembali. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada minggu yang lalu kerana pada minggu ini tidak dapat pulang ke kampung, walhal, sepatutnya minggu ini 24.03.2013 merupakan hari pertunangan kakak saya. Tetapi apakan daya, saya terpaksa korbankan untuk menyertai TG2KM, ia mewakili 2 jam kredit LC saya bagi semester ini. Pada mulanya agak terkilan juga dan sedih, ini kerana saya hanya mempunyai seorang kakak sahaja, jadi, majlis ini akan berlaku sekali sahaja, tetapi bila fikir secara rasional sebagai seorang pelajar, saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil serius perkara berkenaan.

Sebagai seorang pelajar, saya percaya, jika kita hendak mendapatkan sesuatu, kita mesti melepaskan sesuatu, itu namanya pengorbanan. Ok, sekarang kita tukar topik pula, saya dah janji hari itu nak cerita tentang apa yang berlaku sepanjang saya berada di rumah. Perkara pertama saya sampai ke rumah, mestilah jumpa dengan ahli keluarga, tapi sekejap sahaja, ini kerana pada hari yang saya tiba di kampung, saya sudah berjanji dengan kawan untuk berjumpa dan pergi gunting rambut di salun dan pergi membeli-belah. Pada sebelah malam saya meluangkan masa dengan ahli keluarga, macam-macam emak masak untuk saya, tapi alangkah ruginya kerana saya tidak makan nasi kerana dalam proses menurunkan berat badan. 

Pada pagi Sabtu, saya menolong Abah mengecat rumah sempena majlis kakak, saya mengecat luar dan dalam rumah, sehari suntuk juga saya menghabiskan masa untuk menyiapkan tugasan mengecat rumah. Memang sangat penat, dengan cuaca yang panas terik, tetapi saya tetap menyiapkannya. Pada hari Ahad, merupakan hari terakhir saya berada di rumah untuk cuti yang sangat singkat ini. Pada sebelah pagi, saya mengecat dinding di luar rumah lagi sekali supaya ia lebih tebal, ketika saya sedang mengecat, keluarga sebelah Emak saya tiba di rumah kami, mereka datang untuk menolong apa yang patut dan untuk makan tengah hari bersama keluarga saya. Abah dan kawan-kawannya ketika ini sedang sibuk "melantai" kawasan dalam rumah. tepat jam 12.30 tengah hari saya berhenti melakukan kerja, ini kerana saya perlu menyiapkan persiapan untuk pulang ke UKM kembali. Bas saya pukul 2.00 petang, saya perlu bersiap awal supaya tidak kelam kabut. 

Pada pukul 1.45 petang, Abang Saudara saya telah menghantar saya ke stesen bas, Abah sibuk kerana kerja "melantai" tidak siap lagi. Saya naik bas pulang ke UKM pada jam 2.15 petang, dalam bas saya hanya tidur akibat kepenatan yang terlampau. .inilah serba sedikit cerita 3 hari 2 malam saya di rumah.

Sekian....:)


~ketika sedang mengecat bahagian dalam rumah~


~spaghetti merupakan menu wajib bila pulang ke kampung ~


 ~ini merupakan penyata Shopping di PADINI tahun lepas...(macam tak percaya jer)~

~dapat baucer rebat daripada PADINI~
~jaga diri, jaga hati, hiasi peribadi, audit diri kita~

Saturday, 16 March 2013

MENUNGGU SANGAT BOSAN!!!

Assalamualikum semua,

Post hari ini saya nak kongsikan perkara yang saya paling tidak suka dalam hidup ini, perkara tersebut ialah MENUNGGGU. Saya memang sangat-sangat tidak suka menunggu terlalu lama dan di tempat yang tidak selesa yang boleh menghilangkan mood. Nak dijadikan cerita, semalam Jumaat 15 Mac 2013, merupakan hari yang menghilangkan mood bagi masa yang terdekat ini. Ini kerana semalam, perjalanan saya penuh dengan penantian dan menghabiskan masa menunggu sahaja. Saya pulang ke kampung halaman semalam bagi berjumpa dengan keluarga yang sangat saya rindu, daripada masuk semester baru hari itu, ini kali pertama dapat pulang ke kampung.

Berbalik pada kes menunggu tadi, semalam perjalanan saya bermula dari Stesen KTM UKM, saya mengambil KTM dari Stesen UKM ke Stesen Bandar Tasik Selatan, bermula dari sini saya sudah mula penat menunggu KTM, sangat la tension menunggu KTM yang lama, tapi sabar dan terus sabar menanti, dalam 15-20 minit barulah tren KTM sampai, nasib baik saya dapat duduk, kurang sikit rasa geram menunggu itu, daripada Bandar Tasik Selatan, saya menukar tren dengan mengambil Star Komuter ke Stesen Plaza Rakyat, iaitu nak ke Stesen Bas Puduraya, disini tidak lama perlu menunggu, komuter cepat sikit perjalanannya berbanding dengan KTM. Setibanya saya Stesen Bas Puduraya, saya terus ke kaunter tiket untuk membeli tiket balik ke Perak, malangnya tiket nak ke Seri Iskandar lambat lagi, pukul 1.00 petang baru ada, masa itu baru pukul 10.45 pagi, jadi yang ada hanya bas ke Ipoh pukul 10.50 pagi, setelah lama berfikir, saya membuat keputusan untuk naik bas turun di Ipoh, selepas itu tukar bas komuniti ke Seri Iskandar.

Saya tiba di Stesen Bas Medan Gopeng pada jam 2.05 petang, Alhamdulillah, saya terus ke Bus Stand untuk tunggu bas ke Medan Kitt, disini saya menunggu bagai nak rak lamanya, dengan cuaca yang panas, dan persekitaran yang saya sangat tidak suka, 30 minit lepas itu baru ada bas, lama kan saya menunggu??.tidak lama lepas itu, sampailah ke Medan Kitt, dari Medan kitt, saya perlu tukar bas yang ke Bota,UITM, Manjung dan Lumut. Di sini merupakan tahap kemaksimuman perasaan marah, geram dan tension saya, ini kerana terpaksa menunggu sangat-sangat lama, dengan keadaan tempat yang macam apa entah, ramai warga asing, persekitaran tidak bersih, tidak selesa dan macam-macam lagi, hati ini sudah tidak ada mood masa tu, dalam 3.30 petang, baru ada bas, masa itu berebut-rebut orang nak naik bus itu, setelah lama perjalanan, saya tiba di Felcra Nasaruddin Belia, iaitu kawasan perumahan rumah saya, saya tiba dalam pukul 4.30 petang, di sini pun saya perlu menunggu lagi, iaitu menunggu Abah datang menjemput saya. Nasib baik sekejap je saya menunggu, kalau tidak dengan Abah pun hilang mood, perkara pertama jumpa Abah mestilah salam dan cium tangannya, rindu sangat pada Abah, dalam perjalanan nak ke rumah, saya cerita dengan Abah apa yang terjadi seharian, Abah gelak sebab dia sudah tahu perangai cerewet anak teruna nya seorang ini.

Tidak lama lepas itu, kami pun selamat sampai di rumah, Home Sweet Home, tibanya di rumah saya terus dapatkan Emak dahulu, salam, cium tangan dan cium pipinya, maklumlah anak dah rindu dekat Emak kan, mak seronok tengok saya, dia kata kenapa badan dah susut??, saya jawab biasalah, tidak cukup tidur, tidak tentu makan.  Macam-macam lagi berborak dengan Emak, baiklah saya dah penat menaip, nantikan post saya yang seterusnya berkisarkan apa yang saya buat di rumah sepanjang cuti 3 hari di rumah ini.

Sekian.

~jaga minda, jaga hati, audit diri~

Saturday, 9 March 2013

PAGI SABTU YANG RAJIN....:)

Assalamualaikum...

Hari ini nak cerita sikit pasal pagi sabtu ni, kebiasaannya saya susah sangat nk rajin pada hari sabtu ini, sebab selalunya hari sabtu merupakan Hari Tidur rasmi bagi saya. Tetapi hari ini pelik sangat sebab terasa diri ini rajin semacam, pagi-pagi bangun solat subuh, lepas itu, pergi jogging di Stadium UKM dari pukul 7.00 pagi ke 9.30 pagi, puas rasanya dapat keluarkan peluh, sebab hari ini merupakan hari pertama pergi jogging dekat Stadium UKM bagi Semester 2 ini. 

Balik dari jogging ,saya bancuh air Vico untuk saparan pagi, then lepas itu mulakan operasi mengemas kamar tidurku dan meja belajar serta almari baju,macam-macam saya buat, angkat baju di jemuran lepas itu lipatkan dan susun dalam almari, kalau di rumah saya tak buat macam ini sebab semuanya emak yang buat, terlebih rajin hari ini sampai dah tak tahu nak buat apa pulak lepas ini. Tetapi sebenarnya pengajaran yang saya dapat hari ini ialah, setiap apa yang kita buat mesti datang dari hati, buang jauh-jauh sifat malas, dan buat setiap kerja itu dengan ikhlas, kadang-kadang bila kita duduk jauh dari keluarga dapat mematangkan diri kita supaya boleh hidup berdikari dan mampu melaksanakan tugas sebagai pelajar dan sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Saya teringat satu pepatah dalam subjek Pembangunan Diri 1 yang diambil pada semester yang lepas dimana berbunyi, sebaik-baik pemimpin ialah pemimpin yang meminpin dirinya sendiri terlebih dahulu, jadi kita semua di dunia ini adalah pemimpin kepada diri kita sendiri, kita yang berkeupayaan melakukan perubahan dalam diri kita, bukannya orang lain, bukannya ibubapa kita, mereka hanya mampu memberi nasihat dan panduan, tetapi kita yang menentukan hala tuju kita.

 Teringat pula pesan Abah kat saya, "Abah hannya mampu hantar Angah(saya) pergi belajar dan doakan yang terbaik untuk Angah, masa depan Angah itu Angah yang tentukan, Abah tak pandai, tetapi Abah nak anak-anak Abah pandai ", pesanan Abah ini tidak pernah aku lupa walau sesaat pun, dan aku yakin doa Abah sentiasa mengiringi ku, terima kasih Allah diatas kurniaanMu kerana memberikanku Emak dan Abah yang paling terbaik di muka bumi ini (tiba-tiba pula sedih, rindu pada Emak dan Abah). Namun hidup mesti diteruskan, jadi lepas ini nak pergi mandi dan siapkan Tutorial Mikroekonomi 1, dan siapkan tugasan kumpulan, hari Isnin ini ada pembentangan untuk Asas Keusahawanan, jadi kena siapkan persediaan yang rapi supaya nanti berjalan lancar, In Shaa Allah..



~ini adalah tempat untuk istirehat dan melenakan mata~


~ini merupakan meja untuk saya mengulangkaji dan menulis blog ini~


~ini ruangan untuk buku-buku~


~rindu pada Emak dan Abah~

Maka, selesai sudah cerita pagi Sabtu ini, jumpa lagi untuk post yang seterusnya, sekian. Wassalam...:)

Thursday, 7 March 2013

KRITERIA LELAKI SOLEH BERDASARKAN AL-QURAN DAN HADIS

Assalamualaikum....

Entry kali ini, saya nak kongsi sedikit tentang bahan bacaan yang saya telah baca suatu ketika dahulu, agak lama juga saya simpan gambar keratan dari majalah Maskulin pada tahun 2009. Saya memang minat membaca majalah ini, ini kerana ia mengandungi pelbagai input yang berguna untuk seorang lelaki, iaitu dari segi kewangan, fesyen, kesihatan, tempat pelancongan dan pelbagai lagi, terdapat juga ruangan pemantapan rohani. Pada keluaran tersebut saya tertarik dengan tajuk "Kriteria Lelaki Soleh Berdasarkan Al-Quran dan Hadis", tajuk ini bagi saya memberikan maksud yang sangat mendalam dan mampu menimbulkan kesederaan dalam diri, ini adalah pada pendapat saya, tidak pasti persepsi orang lain. Terdapat beberapa kriteria yang akan saya kongsikan bersama anda semua, antara kriteria-kriteria tersebut adalah :-

1. Sentiasa taat kepada Allah dan Rasulullah S.A.W.

2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.

3. Mati syahid adalah cita-cita hidup yang tertinggi.

4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cubaan dari Allah S.W.T.

5. Ikhlas dalam beramal.

6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.

7. Sangat takut kepada ujian Allah S.W.T dan ancamannya.

8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.

9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.

10. Solat malam menjadi kebiasaannya.

11. Tawakkal penuh kepada Allah dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah S.W.T.

12. Selalu berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.

13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.

14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi munkarnya.

15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.

16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, sentiasa saling mengingatkan sesama   ikhwan dan tawadhu' penuh kepada Allah S.W.T.

17. Kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.


Sama-samalah kita cuba untuk menjadi hamba yang terbaik didunia dan di akhirat sana, perkongsian ini adalah untuk saya dan juga semua, perkara yang baik perlu dikongsi bersama, tidak dapat amalkan semua, cubalah untuk amalkan satu persatu, lama kelamaan akan jadi rutin yang biasa bagi kita.


keratan majalah yang saya simpan dalam telefon bimbit


~jaga diri, jaga hati, hiasi peribadi~

Wednesday, 6 March 2013

WELCOME TO TG2KM

Assalamualaikum....

Hari ini seperti yang dijanjikan daripada post yang sebelum ini, saya nak berkongsi tentang program terbesar yang akan dijalankan di kolej kediaman kami, iaitu TG2KM, nama panjangnya Temasya Gemilang Kolej Keris Mas, ini merupakan program tahunan kolej kami, hampir semua Sekretariat di kolej kami terlibat dalam menjayakan program yang gilang-gemilang ini, saya juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri dalam menyertai program ini, ini merupakan tahun pertama merasai pengalaman ini, jadi tidak salah untuk saya menyertai pelbagai aktiviti di kolej ini. TG2KM akan dijalankan pada 18-31 Mac 2013, semua warga UKM dijemput hadir bagi sama-sama memeriahkan TG2KM pada tahun ini.

Saya mewakili Sekretariat Keusahawanan Kolej Keris Mas, kami menjalankan aktiviti Explorace Usahawan, dimana kami menyediakan laluan untuk pelajar menjalani aktiviti ini, aktiviti ini dijalankan di sekitar UKM sahaja, dan cabaran yang disediakan akan meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental peserta serta mewujudkan amalan persaingan sihat dalam kalangan peserta. Di samping itu kami juga manjalankan Karnival Jualan di Pusanika dari 25-29 Mac 2013, dimana terdapat gerai-gerai jualan akan dibuka pada hari tersebut. Terdapat juga tapak jualan yang disediakan untuk sewaan pelajar yang ingin menjalankan jualan, ini dapat meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar, disamping melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam akademik dan juga keusahawanan.

~ini merupakan salah satu pengiklanan TG2KM~


~ini merupakan logo TG2KM pada kali ini, sangat cantik~


~ini merupakan program yang dikendalikian oleh Sekretariat saya~
 


Marilah ramai-ramai kita warga UKM untuk berkunjung ke TG2KM pada tahun ini....:)



Friday, 1 March 2013

WALAUPUN PENAT IA TETAP PENGALAMAN

Assalamualaikum...

Hari ini nak cerita sedikit tentang pengalaman malam ni, saya merupakan salah seorang ahli Sekretariat Keusahawanan Kolej Keris Mas, kami menjalankan aktiviti jualan di setiap blok asrama lelaki dan perempuan. Kami ada menjual nasi lemak, biskut, makanan ringan dan pelbagai lagi mengikut keperluan dari semasa ke semasa. Sambutan yang kami dapat juga agak memberangsangkan, tetapi yang penting sekali adalah pengalaman ini hanya dapat dirasai oleh orang yang merasainya sahaja.

Nak dijadikan cerita, pada malam ini nasi lemak yang kami letak di blok lelaki tidak habis dijual, kami kena habiskan jualan malam ini juga kerana takut nanti basi nasi itu, jadi kami sesama ahli sekretariat lelaki bertindak untuk promosi di setiap aras asrama untuk menghabiskan nasi lemak. Dari aras 2 ke aras 6, dari blok 9 ke blok 8, memang sangat memenatkan, tapi ini la pengalaman yang tidak dapat dibeli dimana-mana, hanya ada di KKM sahaja. Jam 1.15 pagi bersamaan 1 Mac 2012 kami berjaya menghabiskan jualan nasi lemak kami...Alhamdulillah, syukur sangat-sangat, berkat usaha kami dan sokongan warga KKM, nasi lemak kami laris terjual.

Saya balik ke bilik cadangnya nak melelapkan mata, tetapi perlu mengira kutipan jualan biskut dan nasi lemak dahulu..setelah selesai, saya menulis blog ini. Saya ada lagi perkongsian untuk post seterusnya, harap anda nantikan.... mata dah mengantuk jadi nak tidur dulu....:)

sekian..

~jaga diri, jaga hati, hiasi peribadi~